Puteri UMNO Semporna Usul Pertanian Adalah Perniagaan, Atasi Masalah Pengangguran
Posted by on 1 July 2010 | 0 Comments
TAWAU 1 Julai - Meyedari masalah pengangguran turut membelenggu golongan wanita muda, mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Semporna mencadangkan supaya ahli-ahlinya disaran menyahut seruan kerajaan 'Pertanian adalah perniagaan' dengan menceburi bidang pertanian secara komersial.
Menurut Ketuanya, Zakiah Kalipunya penanaman dan penternakan secara besar-besaran pasti mampu membantu kewangan mereka yang terlibat dan secara tidak langsung meningkatkan ekonomi diri dan keluarga.
"Kita sahut seruan kerajaan ‘Pertanian adalah Perniagaan, cuma masalahnya ialah berapa ramai dalam ahli kita yang mahu dan bersedia mengurus projek mega seperti ini.
“Saya tidak mahu projek seumpama ini hanya pada nama tetapi tidak pun dirasai dan diselia sendiri oleh ahli Puteri.
"Saya mahu mendengar ahli-ahli Puteri memberi cadangan dan mengatur kumpulan masing-masing untuk memohon,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian semasa ucapan penggulungan Mesyuarat Perwakilan Puteri UMNO Bahagian Semporna di sini.
Katanya lagi, bidang pertanian yang dijalankan secara tidak langsung menyahut Kempen Bumi Hijau.
Beliau menggalakkan ahli Puteri UMNO bercucuk tanam, menternak dan memelihara ikan bagi mengeluarkan sendiri bahan makanan di samping mewujudkan kesedaran dan minat terhadap pertanian terutamanya penduduk di taman perumahan, di kampung dan bandar kerana dengan pelbagai kemudahan yang disediakan oleh kerajaan seperti pinjaman dan tempat yang bersesuaian.
“Pada masa ini ada sesetengah bahan makanan harian agak terlalu mahal, jika kita mampu menanam sendiri, saya percaya bukan sahaja kita dapat mengurangkan perbelanjaan tetapi juga kita dapat membantu keluarga kita," katanya.
Jelas Zakiah yang juga Naib Ketua Puteri UMNO Sabah, usaha untuk meningkatkan ekonomi dan menjana pendapatan sendiri mampu dilakukan tanpa perlu ke luar daerah.
Tegasnya apa yang penting adalah kesanggupan ahli Puteri UMNO untuk melakukannya terutama golongan belia beliawanis di daerah ini agar sentiasa merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan.