Mengenai Pemecatan Ahli Parlimen Kulim - Bandar Baharu, Zulkifli Nordin Oleh Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR)
Posted by Yb. Datuk Rosnah Binti Hj. Abd Rashid Shirlin on 8 March 2010 | 0 Comments
Pergerakan Puteri UMNO percaya tindakan Majlis Pimpinan Pusat PKR memecat YB Zulkifli Nordin akan membuka mata ahli-ahli PKR dan rakyat di negara ini tentang agenda sebenar parti itu iaitu hanya untuk memperjuangkan pemimpin tertinggi mereka iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketelusan dan keterbukaan YB Zulkifli mengeluarkan kenyataan berhubung isu agama, bangsa dan negara ternyata tidak disenangi barisan kepimpinan PKR lantaran ia bertentangan dengan agenda sebenar mereka iaitu mahu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Puteri UMNO melihat secara jelas dalam mencapai cita-cita `menakluk’ Putrajaya, Anwar Ibrahim dan orang kanannya hanya mahu mencapai agenda peribadi, justeru isu-isu berkepentingan rakyat dan menyentuh sensitiviti agama, bangsa dan negara tidak mendapat tempat dalam agenda mereka.
Sebab itu apabila YB Zulkifli Nordin lantang dan berani menyuarakan pandangan berhubung perkara-perkara tersebut maka ia menimbulkan rasa tidak senang di kalangan orang Anwar dan semestinya menimbulkan keresahan Anwar Ibrahim sendiri.
PKR yang melaung-laungkan konsep ketelusan dan bersedia ditegur serta menerima pandangan rakyat ternyata cakap tidak serupa bikin apabila memutuskan pemecatan YB Zulkifli Nordin.
Sebaliknya keputusan itu yang tidak memberi peluang langsung kepada YB Zulkifli Nordin untuk membela diri jelas menunjukan tiada ruang untuk rundingan dan perbincangan antara pihak yang menjatuhkan hukuman dan pihak yang dihukum.
Puteri UMNO percaya pemecatan itu akan membuka ruang yang lebih besar kepada ramai pemimpin untuk meninggalkan PKR yang secara terang-terangan menolak perjuangan Islam dan sanggup memecat pemimpin yang mengeluarkan kenyataan untuk mempertahankan Islam.
Di mana janji-janji PKR untuk memayungi orang Melayu dan memperjuangkan Islam semasa berkempen dalam pilihan raya 2008 lalu? Selepas genap dua tahun pakatan pembangkang bergabung membentuk kerajaan di beberapa negeri, tidak ada satu pun perjuangan yang secara jelas menampakkan agenda rakyat jauh sekali mahu mengangkat martabat Islam.
Barisan kepimpinan PKR hanya menghormati pandangan dan menjaga hati DAP, manakala Pas yang kononnya memperjuangkan Islam sanggup bersekongkol dengan Anwar Ibrahim menghalalkan yang haram.
Agenda Anwar Ibrahim dan sekutunya DAP hanya satu iaitu mahu menjadi Perdana Menteri. Agenda DAP juga satu, mahu menegakkan Malaysian Malaysia dan menyokong Anwar Ibrahim hanyalah untuk memastikan matlamat tersebut tercapai. Sebab itu Anwar Ibrahim lebih percaya kepada DAP dan DAP bergantung kepada Anwar Ibrahim – kedua-dua pihak itu tidak pernah ada agenda untuk mengangkat Islam jauh sekali memperjuangkan nasib bangsa dan negara.
Sekian, terima kasih.